Jenis entiti geografi Entiti geografi

Entiti semula jadi

Entiti semula jadi merupakan fenomena yang tidak dicipta oleh manusia, tetapi merupakan sebahagian daripada dunia semula jadi. Terdapat beberapa perdebatan metafizik sama ada ciri-ciri tersebut adalah "nyata", bebas daripada minda manusia (pendirian realistik), sama ada ia adalah konsepsi manusia semata-mata bagi fenomena semula jadi yang berterusan (pendirian konstruktivis), atau gabungan fenomena semula jadi diskret yang bermotivasi, tetapi dipermudahkan oleh konsep manusia (pendirian pengalaman). Ia juga mungkin merupakan entiti setiap individu daripada mana-mana tiga jenis ini iaitu ekosistem, jasad air dan bentuk muka bumi.[3] Ia juga dikenali sebagai ciri pandang darat fizikal.[4][5]

Ekosistem

Rencana utama: Ekosistem

Terdapat dua istilah berbeza untuk menggambarkan tempat tinggal (atau habitat), iaitu ekosistem dan bioma. Ekosistem merupakan komuniti sesebuah organisma.[6] Sebaliknya, bioma merupakan kawasan yang luas yang terdapat di dunia dan selalunya merangkumi pelbagai jenis ciri-ciri geografi, termasuk banjaran gunung.[7] Kepelbagaian biotik dalam ekosistem ialah kebolehubahan antara organisma yang hidup daripada semua sumber, termasuk inter alia (antara lain), daratan, marin dan ekosistem akuatik yang lain.[8] Bioma mewakili kawasan besar yang mengandungi komuniti tumbuhan, haiwan, dan organisma tanah yang serupa secara ekologi. Bioma ditakrifkan berdasarkan faktor seperti struktur tumbuhan (seperti pohon, pokok renek, dan rumput), jenis daun (seperti daun lebar dan daun jarum), penjarakan tumbuhan (hutan, hutan jarang, savana), dan iklim. Tidak seperti alam biogeografi, bioma tidak ditakrifkan oleh persamaan genetik, taksonomi atau sejarah. Bioma sering dikenal pasti dengan corak penggantian ekologi tertentu dan tumbuh-tumbuhan klimaks.[9]

Jasad air

Laman utama: Hidrologi dan Jasad air

Jasad air ialah sebarang pengumpulan air yang ketara, biasanya meliputi tanah. Istilah "jasad air" selalunya merujuk kepada lautan, laut dan tasik, tetapi ia juga merangkumi kolam air yang lebih kecil seperti kolam (atau kubang, bencah, dan becah), sungai/caruk pasang surut atau tanah lembap. Saliran air, sungai, terusan, alur, caruk, parit dan ciri geografi lain yang di mana keadaan air yang bergerak dari satu tempat ke tempat lain, seperti sungai yang berpunca dari hulu ke hilirnya tidak dianggap sebagai jasad air, tetapi ia termasuk sebagai formasi geografi yang menampilkan air. Sesetengah daripada ini, ia mudah dikenali sebagai entiti dunia nyata yang berbeza (cth., tasik terpencil), manakala yang lain sekurang-kurangnya sebahagiannya berdasarkan konseptualisasi manusia.

Bentuk muka bumi

Sungai Senagar menuju ke hilirnya di Sungai Simpang Kiri di Parit Sulong, Johor
Rencana utama: Bentuk muka bumi

Bentuk muka bumi terdiri daripada unit geomorfologi dan sebahagian besarnya ditakrifkan oleh bentuk permukaan dan lokasinya dalam landskap, sebagai sebahagian daripada rupa bumi, dan lazimnya merupakan unsur topografi. Bentuk muka bumi dikategorikan mengikut ciri seperti ketinggian, cerun, orientasi, stratifikasi, pendedahan batuan dan jenis tanah. Ia termasuk tanggul, guar (anak bukit), bukit, tebing, lembah, sungai, gunung, plato, selokan, rabung, genting, semenanjung, teluk, pulau, batuan, beting dan banyak unsur lain. Lautan dan benua adalah bentuk muka bumi peringkat tertinggi.

Entiti buatan

Entiti buatan diciptakan oleh manusia. Ia juga dikenali sebagai ciri pandang darat budaya.[4][5]

Petempatan manusia

Rencana utama: Petempatan manusia
Petempatan manusia di Pulau Pinang.Jalan perumahan di taman perumahan kos rendah di Johor.

Petempatan ialah kawasan komuniti yang kekal atau sementara di mana orang tinggal secara tetap atau tidak. Petempatan terdiri daripada komponen daripada sebilangan kecil kediaman yang dikumpulkan bersama dalam bandar dengan kawasan perbandaran di sekelilingnya. Ciri-ciri landskap yang lain seperti jalan raya, sistem padang, tebing sempadan dan parit, kolam, taman dan kawasan perhutanan, kilang, kawasan taman perumahan dan perkampungan, longkang, dan rumah ibadat seperti masjid, surau, kuil, dan gereja boleh dianggap sebagai sebahagian daripada petempatan.[10]

Wilayah pentadbiran dan binaan lain

Ini termasuk pembinaan sosial yang dicipta untuk mentadbir dan mengawal tanah, manusia, dan sumber lain yang berkaitan dengan ruang.[11] Contohnya termasuk unit kerajaan seperti negeri, petak tanah kadaster, tuntutan kawasan perlombongan, pembahagian zon perbandaran atau paroki gereja. Terdapat juga entiti sosial yang tidak formal, seperti kawasan kejiranan bandar (atau subbandar) dan wilayah vernakular lain. Ini adalah entiti konseptual semata-mata yang ditubuhkan melalui perintah atau amalan, walaupun sejajar dengan entiti yang boleh dilihat (iaitu sempadan sungai), dan kemudiannya boleh dimanifestasikan di atas tanah, melalui penandaan tinjauan ataupun pemasangan pagar.

Binaan yang direkabentuk

Lihat juga: Infrastruktur

Ciri geografi yang direka bentuk termasuk lebuh raya, jalan raya, jambatan, lapangan terbang, landasan kereta api, bangunan, empangan serta takungan, dan merupakan sebahagian daripada antroposfera kerana ia merupakan ciri geografi buatan manusia.